zwani.com myspace graphic comments

Isnin, Oktober 19, 2009

Ilmu..........luasnya ia


Di dalam Al Quran disebut bahawa ilmu yang diberikan Allah kepada manusia hanya sedikit. Walaupun telah sampai ke mana ilmu manusia. Walaupun manusia itu menyangka dia telah sampai ke kemuncaknya. Walaupun pada abad ini dinamakan sebagai abad ilmu pengetahuan, abad teknologi maklumat, abad dunia tanpa sempadan dan sebagainya.

Namun seorang ahli falsafah barat menyatakan bahawa ilmu yang diperolehi manusia sekarang ini ibarat beberapa butir mutiara yang dibongkar ombak dari dasar laut lalu dihamparkan ke tepi. Itulah yang direbutkan bersama-sama. Orang yang insaf bahawa yang tersimpan di dasar laut masih terlalu banyak, tidak akan habis selama-lamanya. Walaupun manusia datang ke dunia dan manusia kembali ke tanah, ia akan tetap tersimpan.

Saidina Ali bin Abi Talib RA telah membuat suatu perumpamaan tentang ahli ilmu. Beliau berkata, " Mereka adalah kaum yang sedikit bilangannya tetapi besar nilainya. Dengan perantaraan merekalah Allah telah memelihara hujah agamaNya sehingga tidak sanggup orang yang keras kepala melawannya. Merekalah jika akan meninggal dunia, terlebih dahulu menanam ilmu itu kepada hati orang yang serupa dengan hati mereka."

Ilmu meninggikan darjat orang alim, sehingga mereka menjadi bintang dalam masyarakat. 1000 orang bodoh mati dalam sehari tidak ada orang yang tahu. Tetapi kematian seorang yang alim menggegarkan dunia. Kematian 1000 kuli dihimpit tanah dalam satu malapetaka, akan dimuatkan keesokan harinya di dalam akhbar, dengan huruf-huruf kecil yang tidak penting. Tetapi kematian seorang ahli ilmu akan menimbulkan ratapan bertahun-tahun.

Orang Barat berebut mencari ilmu. Orang Islam meninggalkannya. Pada masa dahulu masih ada keistimewaan umat Islam. Pada mereka terhimpun sumber kebahagian di dunia dan di akhirat. Mereka punyai ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Maka di zaman sekarang ini, kita, selaku bakal ulama, punyai kewajipan yang terlalu berat untuk membangunkan kembali perhatian manusia kepada Islam. Jangan jadikan Islam itu agama boneka. Agama yang mati yang tidak bergerak. Tetapi agama yang kulitnya sentiasa menyilih baru, yang bergerak dan yang hidup. Islam agama ilmu dan agama iman.

Diriwayatkan sebuah kisah>>>>>Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke dalam sebuah masjid. Baginda mendapati di sana terdapat 2 kaum sedang berkumpul di dalam majlis masing-masing. Majlis yang pertama sedang berzikir dan majlis kedua sedang memperdalamkan fahaman mereka mengenai feqh. Lalu baginda berkata bahawa kedua-dua majlis itu bagus dan baginda amat sukai. Yang pertama ingat akan Allah dan bermohon padanya; kalau Allah suka akan diberikanNya, dan kalau tidak, tidak akan diberikanNya. Yang sebuah lagi majlis ilmu, untuk memperdalamkan faham, dan memberi pengajaran kepada si jahil. Setelah itu, baginda pun pergi duduk ke dalam majlis yang membicarakan ilmu feqh itu....


Berusaha dan bekerja di belakang ilmu pengetahuan, itulah kewajipan kita. Ada ahli pendidikan berkata pengajaran semata-mata belum tentu menjadi ubat, bahkan mampu menjadi racun.

0 ulasan:

 
Diari Musafir - © 2007 Template feito por Templates para Você